Friday, April 13, 2007

Sejarah:Sistrm Perhambaan Di Negeri-Negeri Melayu

PERHAMBAAN DI PERAK ABAD 19

Pengenalan

Masyarakat Melayu abad ke 19 mengamalkan sistem perhambaan yang diwarisi dari Kerajaan Melayu Melaka[1] Hamba-hamba secara umum adalah milik kepada Sultan atau pembesar yang kaya. Hamba terikat dengan adat.[2] hamba terbahagi kepada 2 jenis iaitu hamba abdi dan hamba berhutang.[3] Istilah hamba digunakan oleh orang melayu untuk menggambarkan bahawa hamba seperti harta yang boleh dipindah randah dan seperti hamba berhutang. Hamba abdi yang terdiri daripada orang luar[4] dan Hamba berhutang adalah orang dalam atau orang tempatan. Hamba berhutang juga dikenali sebagai hamba tebusan yang sukarela ’menggadaikan’ dirinya untuk mendapatkan bantuan kewangan dari seorang yang memberi hutang (lazimnya sultan atau pembesar)

Sistem hamba tebusan sekiranya tidak dapat tebus hutang maka akan menyerah diri kepada pemiutang. Setiap anggota masyarakat sedar akan kelas yang mereka duduki . Hamba tentu tidak akan dapat akui dirinya merdeka. Jelas disini menunjukkan bahawa hamba tiada mobiliti sosial dan aka terikat dengan tuannya. Hamba akan diperintahkan supaya mengerjakan apa jua yang dikehendaki oleh tuannya hingga segala hutang dilunaskan.[5] Terdapat hamba wanita yang melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak, mengasuh, mengangkat air, mencari kayu api...

PENGHAPUSAN SISTEM PERHAMBAAN OLEH BRITISH DI PERAK.

Kehidupan di Negeri-negeri Melayu menurut Harry Miller pada abad ke 19 hampir sama dengan Britain pada zaman pertengahan dan Eropah pada abad ke 10 dan 11 apabila golongan petani di tindas di bawah golongan Tyran atau feudal yang memiliki tanah.[6] Revolusi Perancis[7] telah menyebabkan berlaku perubahan pesat pada masyarakat barat yang menegakkan hak bagi menggulingkan pemerintahan yang menindas. Pada waktu tersebut Eropah yang mengalami zaman gelap telah berada pada zaman renaissans berbeza dengan keadaan di Negeri-negeri Melayu selepas kejatuhan Melaka pada 1511 menyebabkan kegemilangan Melaka itu hilang dan tidak dapat bangkit kembali seperti zaman sebelumnya. Negara-negara Eropah mencari tanah jajahan untuk pelbagai sebab kerana di Eropah berlaku revolusi yang pesat seperti Revolusi Perancis yang menjadi titik tolak kepada kesedaran mengenai kebebasan dan hak-hak manusia. Masyarakat Eropah berubah secara total. Perubahan ini termasuklah perhambaan dan penindasan oleh golongan gereja dan tuan tanah. Ia merintis kepada kemajuan yang dicapai oleh mereka dan penjelajahan ke timur. Bagi masyarakat Eropah perhambaan adalah satu perbuatan yang menafikan hak-hak seseorang sebagai seorang manusia.

Usaha penghapusan perhambaan oleh Birch

J.W.W Birch telah dilantik sebagai Residen British yang pertama di Perak. Birch telah menentang sistem perhambaan terutama hamba berhutang sejak dia mula diletakkan di Perak sebagai residen.[8] Perjanjian Pangkor pada 1874 telah menghapuskan amalan perhambaan walaupun tidak di sebut dalam Perjanjian Pangkor tetapi bagi kerajaan Negeri-negeri Selat ia sebagai amalan yang bertentangan dengan kerajaan yang ’bertamadun’ itu.[9] Wakil Inggeris diwujudkan yang akan menasihati Raja-raja Melayu yang memeritah dengan cara yang ’bertamadun’[10] dan pupuk suasana sesuai supaya perniagaan British bertambah maju. Para pembesar Perak yang tidak menyedari akan implikasi terhadap mereka telah menandatangani perjanjian tersebut. Samada pembesar dan sultan melayu tidak memahai terma ’menasihati’ [11] dimana tiada peraturan atau garis panduan yang menjelaskan secara jelas mengenai tugas-tugas Residen di Perak. Terma menasihati[12] itu sebenarnya telah digunakan dengan sewenang-wenangnya oleh residen menyebabkan semua keputusan dibuat oleh residen yang bertentangan dengan istilah ’menasihati’ itu. Jelas Perjanjian Pangkor adalah alat bagi British untuk menguasai Perak. Sultan Abdullah enggan menerima nasihat dari residen yang telah dinyatakan seperti dalam Perjanjian Pangkor 1874. Sultan Abdullah tidak pernah diberi peluang untuk memahami fungsi residen dan kepentingannya.[13] Ini menyebabkan kekeliruan kepada sultan mengenai bidang tugas Residen dan Sultan kerana hamba dianggap sebagai adat dan sultan mempunyai kuasa dalam agama dan adat istiadat melayu. Usaha Birch menghapuskan dan melindungi hamba ditentang oleh golongan pemerintah.

Hamba penting kepada golongan pemerintah kerana dianggap sebagai lambang kekuasaan dan kemegahan. Hamba dapat meningkatkan taraf individu yang menjadi pemilik. Makin ramai hamba, maka makin tinggi taraf sosial sebagai anggota masyarakat dan semakin kukuhlah kedudukan ekonomi pemilik. Selain menggunakan tenaga hamba untuk membuat pelbagai kerja, hamba perempuan digunakan untuk menarik perhatian pengikut lelaki[14] yang berguna untuk meninggikan prestij.[15] Pembesar dan sultan menggunakan hamba sahaya perempuan untuk memberi kepuasan seks kepada pemuda yang belum kahwin, yang menjadi tentera pembesar itu.[16]

Hamba lelaki memainkan peranan untuk mempertahankan wilayah dari diceroboh. Hamba biasa dan hamba berhutang penting kepada ekonomi pembesar dan pengikut lelaki meningkatkan lagi kuasa autoriti. Raja akan mencarikan isteri kepada hamba lelaki. Kemudian seluruh ahli keluarga akan menjadi hamba secara keturunan.[17] Jelas menunjukkan bahawa berlaku penindasan terhadap golongan yang diperintah dan yang kaya dan berkuasa semakin berkuasa manakala yang miskin semakin miskin dan tertindas. Hamba tidak boleh lari daripada tuannya, jika lari daripada tuannya orang yang menolong hamba lari daripada tuannya maka orang yang menolong tuannnya lari dari tuannya akan dijadikan hamba juga.[18] Ini menunjukkan bahawa sistem hamba digunakan sebagai satu alat yang berguna untuk mendapatkan pengikut kerana bagi hamba berhutang mereka tidak boleh lari dari tuan mereka sesuka hati.dan dibebaskan mengikut budi bicara tuan mereka [19] Malah ada pembesar yang tidak mahu menerima bayaran dari hamba ini lalu menjadikan mereka hamba buat selama-lamanya. Perjanjian Pangkor 20 Januari 1874[20] merupakan titik tolak kepada perubahan dalam sistem perhambaan di Perak pada abad sembilan belas.

Tindakan Birch menyembunyikan hamba tebusan yang melarikan diri[21] terutama hamba perempuan dianggap oleh orang Melayu sebagai perbuatan mencuri semata-mata. Kejadian hamba melarikan diri daripada tuannya sebenarnya adalah perkara yang biasa ia sentiasa berlaku sejak zaman berzaman. Menurut P.L Burns beliau mengatakan bahawa perhambaan adalah adat Perak yang diwarisi sejak zaman yang sangat lama dan Birch sebenarnya tiada hak untuk mengubah adat yang telah lama diamalkan itu. [22] Adat yang telah lama diamalkan malah sejak zaman Melaka lagi apabila ingin dihapuskan sudah tentu akan menimbulkan reaksi negatif kerana orang melayu sangat mementingkan adat. British sepatutnya memilih residen yang berfikiran tajam dan halus dan bijak serta benar-benar tahu mengenai adat istiadat dan hal ehwal orang Melayu untuk menghapuskan amalan perhambaan di Perak.

Birch seharusnya bersikap dengan lebih bertoleransi dan menghormati supaya dengan cara itu dia dapat menghapuskan perhambaan tanpa menimbulkan kemarahan kepada golongan pemerintah. Birch masih menanggap hamba seperti di barat sedangkan hamba di negeri-negeri Melayu mempunyai hak kemasyarakatannya sendiri, walaupun hamba dipunyai oleh tuannya, tetapi hamba masih boleh mengambil upah dari orang lain.[23] Orang-orang Eropah cenderung mentakrifkan hamba abdi[24] menurut pengertian barat dan melihat hamba abdi sebagai sekumpulan manusia yang tidak dibezakan dan menempuh kehidupan yang penuh penyeksaan.[25] Sedangkan pemerintah Melayu mempunyai 2 jenis hamba secara am iaitu hamba abdi dalam erti kata barat dan hamba berhutang atau hamba tebusan. Berlaku salah faham mengenai erti hamba di barat dan eropah. Perbezaan ini masih dianggap seperti barat dan mereka sebulat suara mengutuk amalan itu. Akan tetapi bagi hamba raja ia adalah satu kebanggaan jika mereka menjadi hamba raja dan mereka menerima layanan yang berlainan berbanding hamba lain.

Birch juga telah diminta supaya tidak melindungi hamba yang lari daripada tuannya melalui bantahan yang dihantar oleh Raja Dris kepada Sir Andrew Clarke.[26] Ini membawa kepada kemuncak iaitu pembunuhan Birch di Pasir Salak.[27] Akibat daripada peristiwa itu, British telah mengambil langkah berhati-hati dan mengawal residen supaya bertindak dengan adanya panduan yang jelas. Kematian Birch telah menyebabkan pihak British bertindak dengan lebih berhati-hati dan bijak bagi mengelakkan berlaku huru-hara yang akhirnya akan menjejaskan kepentingan British di Negeri-negeri Melayu kerana Perak merupakan pembekal bijih timah untuk di bawa ke England bagi tujuan industri.

Hugh Low dan kebebasaan hamba di Perak

Kedatangan Hugh Low menggantikan Birch telah membawa pelbagai perubahan di Perak. Sikap Hugh Low yang lebih toleransi dan mudah didekati menyebabkan kedatangan beliau sebagai residen British diterima dengan baik di Perak. Low diterima kerana pendekatannya yang lebih bertolak ansur dan menjalinkan hubungan baik dengan pembesar.[28] Apabila pentadbir British mencadangkan supaya orang yang dibelenggu hutang ini dihapuskan secara beransur-ansur dengan mengira nilai khidmat si berhutang sebagai bayaran hutang mereka. Nilai khidmat itu pula sukar ditentukan nilainya dan untuk berapa lama seorang hamba berhutang akan menjadi hamba menyebabkan banyak hamba berhutang yang sukar melepaskan diri dari tuan mereka. Clake[29] telah memberi arahan lisan kepada Residen Selangor, Davidson mengatakan ’tidak dibenarkan sebarang bentuk hamba abdi dimana-mana negeri di bawah perlindungan British’[30] Langkah demi langkah yang dilakukan oleh Low untuk menghapuskan perhambaan dan memujuk Sultan dan pembesar-pembesar bahawa perhambaan adalah salah disisi undang-undang. Pembesar-pembesar Melayu Perak menjawab bahawa khidmat hamba mereka mempunyai nilai yang tidak lebih daripada nama sahaja.[31]

Hamba membawa bersama mereka kekuasaan dan sumber ekonomi kepada tuannya. Hamba penting kepada seorang Raja atau pembesar kerana ia dianggap sebagai pengikut[32] lalu menaikkan mertabat dan kekuatan statusnya. di samping menjadi aset ekonomi (boleh dijual beli)[33] atau lunaskan hutang dengan hamba abdi. Oleh itu ia boleh dianggap sebagai pelaburan yang boleh diambil hasil daripada jualan. Dengan demikian mereka mempunyai nilai ekonomi sebagai modal. Hasil kerja yang dilakukan oleh hamba akan dibahagi dengan tuan. Hamba menjalankan kerja fizikal dalam bentuk tenaga manusia bagi menyokong dan menjalankan berbagai-bagai kerja yang wujud dalam masyarakat.[34] Contoh, Sultan Abdullah mempunyai hamba yang dijadikan pelacur dan menerima bayaran 10 sen sehari. Sumber pendapatan Sultan dan pembesar bergantung kepada hamba samada dari segi melaksanakan kerja yang menjadi pendapatan tuan atau bekerja dan pendapatan itu dikongsi dengan tuan mereka.[35] Namun Low telah berjaya menghapuskan sistem perhambaan di Perak akhirnya.

Menurut Kapten Speedy di Larut sahaja 75 peratus orang melayu Perak adalah hamba tebusan/hamba berhutang kepada 25 peratus lagi. Pada 31 Disember 1883 hamba berhutang telah berjaya dihapuskan dan 3000 wanita, lelaki dan kanak-kanak telah dibebaskan.[36] Laporan oleh Kapten Speedy menunjukkan tiada lagi hamba di Negeri-negeri Melayu. Banyak hamba yang telah dibebaskan.

KESIMPULAN

Tradisi Melaka masih diteruskan walaupun Melaka telah jatuh ke tangan Portugis pada abad ke 16, Kerajaan Perak yang masih mewarisi nasab salasilah Raja-raja Melayu Melaka meneruskan tradisi masyarakat yang diwarisi. Salah satunya adalah sistem perhambaan ia telah dihapuskan akibat daripada kemasukan British yang mengubah sistem yang telah lama diwarisi itu. Sebenarnya tujuan British menghapuskan perhambaan bukanlah untuk membebaskan golongan hamba daripada belenggu tuannya tapi semata-mata ingin menunjukkan keangkuhan mereka bahawa mereka adalah orang yang bertamadun tinggi dan perlu menghapuskan perhambaan yang dianggap bertentangan dengan hak asasi manusia. Sedangkan di England sendiri berlaku penindasan terhadap orang kulit hitam yang dijadikan hamba bekerja di kilang-kilang ketika revolusi perindustrian pesat di England pada abad ke 19. Buktinya walaupun British berjaya menghapuskan perhambaaan namun masyarakat Melayu masih terpinggir dari segi ekonomi dengan dasar pecah dan perintah British. Keadaan masyarakat bawahan tiada perbezaan ketika wujud sistem perhambaan kerana mereka majoriti miskin an hidup bergantung kepada ekonomi sara diri.

BIBLIOGRAFI

Andaya B.W & Andaya L.Y (1983). Sejarah Malaysia. Petaling Jaya: Macmillian

Publishers,

Azmah Abdul Manaf (2001). Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia. Kuala Lumpur:

Utusan Publications & Distributors

Burns P.L (1971). Papers on Malays Subjects. London: Oxford University Press.

Cowan. C.D (1970). Tanah Melayu: Kurun kesembilan Belas asal usul penguasaan

British. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Ducker W.J. & S. Jackson J. (2001). The World History: volume two: since 1500.

California: Wadworth/Thompson Learning

Gullick J.M (1978). Sistem Politik Bumiputera Tanah Melayu Barat. Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka

Muhammad Yusoff Hashim (1990). Kesultanan Melayu Melaka: kajian beberapa aspek

tentang Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dalam Sejarah Malaysia. Kuala

Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ooi Keat Gin (edt). Volume I (2004). Southeast Asia (A-G): A Historical Encyclopedia

from Angkor Watt to East Timor. Library of Congress Cataloguing in Publication

Data

Parkinson. C. N, (1964). British intervention in Malaya 1867-187. Kuala Lumpur:

University of Malaya Press

Sadka. E. (1968). Protected The Malay States (1874-1895). Kuala Lumpur: The

University of Malaya Press.

Sivachandralingan Sundara Raja (2002). Sejarah Eropah. Kuala Lumpur: Utusan

Publication & Distributor.

S. Patrick. (1982). Social Relation of Dependence in a Malay State: Nineteenth Century

Perak. MBRAS. Kuala Lumpur: Oxford University Press.

Williameson. J.A. (1944). The Evolution of England. London: Oxford University Press.



[1] Raja dan golongan kerabat menduduki kelas teratas, didikuti oleh golongan pentadbir yang terdiri daripada pembesar-pembesar. Disusuli oleh rakyat yang merdeka dan hamba. Lihat... Muhammad Yusoff Hashim (1990). Kesultanan Melayu Melaka: kajian beberapa aspek tentang Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dalam Sejarah Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hal. 227 lihat juga... “from the Melaka practise, which again derived from Hindu ideas of kingship government grafted on to Malay society during the pre-Islamic era,” S. Emily (1968). Protected The Malay States (1874-1895). Kuala Lumpur: The University of Malaya Press, hal. 11

[2] British tidak peduli tentang adat melayu dan secara senyap telah melemahkan prinsip adat orang melayu berbanding menguatkan lagi kedudukan adat di kalangan orang melayu. Hamba dan Hamba-berhutang terikat dengan adat.. lihat…Patrick Sullivian. (1982). Social Relation of Dependence in a Malay State: Nineteenth Century Perak. MBRAS. Kuala Lumpur: Oxford University Press hal. 37. lihat juga…Adat merujuk kepada kebiasaan yang normal, undang-undang, larangan and perintah... dalam Ooi Keat Gin (edt). Volume I (2004). Southeast Asia (A-G): A Historical Encyclopedia from Angkor Watt to East Timor. Library of Congress Cataloguing in Publication Data, hal. 234.

[3] Hamba abdi ialah golongan yang dijadikan hamba secara mutlak oleh seseorang dan boleh jual beli. Hamba yang boleh diambil melalui penjualan. Tetapi dari segi penjualan menyimpan mereka lebih banyak belanja dari harga khidmat mereka. Ini kerana mereka diberikan makanan dan minuman. Lihat..Azmah Abdul Manaf (2001). Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors, hal. 56 Lihat juga... Pada tahun 1882 dianggarkan hamba abdi dan hamba berhutang berjumlah kira-kira 3000 atau kira-kira 16 peratus daripada populasi orang melayu. Patrick Sullivian Op.cit, hal. 46

[4] Hamba Abdi terdiri daripada orang Batak dan Arab yang didapati daripada jaringan perdagangan antarabangsa. Manakala Sakai didapati daripada penangkapan atau pertukaran. Ibid. hal. 47

[5] Sistem hamba tebusan sekiranya tidak dapat tebus hutang maka akan menyerah diri kepada pemiutang. Akan diperintahkan supaya mengerjakan apa jua yang dikehendaki oleh tuannya hingga segala hutang dilunaskan.Di Perak pada hujung abad ke 19 dikatakan bahawa kerja seorang yang dibelenggu hutang ialah: segala kerja rumahtangga yang membanting tulang mencuci halaman, menanam padi... lihat J.M Gullick (1978). Sistem Politik Bumiputera Tanah Melayu Barat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hal. 146.

[6] M. Harry. (1965). The Story of Malaysia. London: Faber and Faber limited, hal. 125

[7] Idea-idea utama Revolusi Perancis adalah 1. Kedaulatan rakyat, Kebebasan dan Persamaan. Lihat ... Sivachandralingan Sundara Raja (2002). Sejarah Eropah. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributor, hal.188. lihat juga...Ducker W.J. & S. Jackson J. (2001). The World History: volume two: since 1500. California: Wadworth/Thompson Learning, hal. 158

[8] Parkinson C.N (1964). British intervention in Malaya 1867-187. Kuala Lumpur: University of Malaya Press, hal. 217

[9] Sebelum Revolusi Perancis (1879-1802) wujud satu prinsip yang diterima umum iaitu pemerintah boleh memerintah dengan sesuka hati . Lihat... Sivachandralingan Sundara Raja , op.cit., hal. 185

[10]Konsep tamadun bagi British di negeri-negeri Melayu ialah menerima undang-undang British, pemerintahan cara British dan seberapa mungkin cara hidup British dengan mengambil contoh Inggeris dalam pemerintahan oleh sebab cara ini mewakili kebudayaan yang tinggi. Lihat..Andaya B.W & Andaya L.Y (1983). Sejarah Malaysia. Petaling Jaya: Macmillian Publishers, hal 175

[11]Fasal 6 antara lain menyatakan bahawa sultan menyediakan tempat tinggal yang sesuai untuk residen British dan wajib meminta nasihat dan laksanakan semua arahan kecuali adat istiadat dan agama orang Melayu. Parkinson. C.N., Op.cit., hal. 324

[12] ‘…it concealed the intended role of the resident in equivocal phrasing, which provided for control and called it advise.’ Lihat…S. Emily, op.cit., hal. 79

[13] M. Harry, op.cit., hal. 120

[14] Hamba lelaki dianggap sebagai pengikut untuk mempertahankan kawasan yang ditadbir.

[15] S. Emily, op.cit., hal. 85

[16] J.M Gullick, op.cit., hal. 148

[17] S. Patrick, op.cit., 51.

[18] Orang yang melarikan hamba raja akan jadi hamba raja juga. Ibid. hal. 59.

[19] Dilaporkan Raja Muda Yusof pernah mencurahkan air panas ke atas badan hamba perempuannya dan meletakkan sarang semut merah ke atas badannya kerana cuba melarikan diri daripada tuannya. Ibid. hal. 61

[20] Perjanjian Pangkor telah memperkenalkan sistem residen British yang di panggil sistem secara tidak langsung menggunakan residen. Ooi Keat Gin (edt). Op.cit., hal. 1018

[21] Birch pernah menyembunyikan 5 pelarian pada 18 september dan 9 Oktober menyembunyikan hamba yang melarikan diri dari tuannya di Pulau Pangkor. C.N Parkinson. Op. cit., hal. 225 lihat juga…S. Emily hal. 86

[22] …it was an ancient Perak custom with which Birch had no treaty-right to interfere. P.L Burns (1971) Papers on Malay Subjects. London: Oxford University Press, hal, 111

[23] Haji Hawah mempunyai 8 orang wanita muda dan 4 wanita dewasa. Mereka tidak deberikan pakaian dan makanan, dan mereka mesti membahagikan pendapatan mereka dengan tuan mereka.lihat...S. patrick op.cit., hal. 55

[24]Di Eropah pada masa Revolusi Perindustrian orang-orang Afrikasebagai hamba untuk bekerja dalam bidang perladangan dan dibawa menggunakan kapal ke Bristol da n Liverpool. Lihat...Williameson. J.A. (1944) The Evolution of England. London: Oxford University Press, hal. 333

[25] Andaya op.cit.,186.

[26]P.L Burns P.L (1971). Papers on Malays Subjects. London: Oxford University Press, hal. 111

[27] Birch di bunuh oleh Maharaja Lela ketika sedang mandi di sungai. Ini kerana pada 30 September 1875 Birch telah menberi kata sultan supaya serahkan seluruh pemerintahan kepada British dan terima pencen sebanyak $2000 dan semua hamba mesti dipulangkan. Lihat...P.L Burns,op.cit., hal. 115

[28] Ini kerana Hugh Low (kemudian menjadi Sir) mempunyai pengalaman yang luas tentang mengadaptasi cara pentadbiran barat kepada orang yang terikat dengan dan hidup dengan adat dan agama.

[29] Sir Andrew Clarke ialah Gabenor Negeri-negeri Selat menggantikan Sir Harry Ord pada akhir 1873. lihat... C.D Cowan (1970). Tanah Melayu: Kurun kesembilan Belas asal usul penguasaan British. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hal. 241

[30] Andaya, op..cit., hal. 185

[31] Hugh Low dalam laporan mengenai perhambaan bertarikh 14 disember 1878 dalam J.M Gullick, op.cit., hal. 146.

[32] Mereka ini termasuklah (1) sukarelawan dan tentera upahan, (2) Orang yang dibelenggu hutang dan (3) Pengikut perempuan yang biasanya hamba. Lihat..J.M Gullick op.cit.,hal. 139

[33] Sumber ekonomi Sultan dan pembesar adalah pelbagai akan tetapi terdapat sumber iaitu perahan keringat dari hamba, bondsmen, dan cukai kerah dan cukai pengeluaran dan perdagangan. Lihat...S. Emily, op.cit., hal. 13

[34] M. Harry, op.cit., hal. 126

[35] Hamba perempuan yang mempunyai hutang akan menggunakan wang yang didapati melalui pelacuran untuk mebayar hutang mereka kepada tuannya. P.L Burns, op.cit., hal. 115

[36] M. Harry, op.cit., hal. 120 lihat juga…bancian pada 1879 dan 1891 yang menunjukkan peningkatan bilangan orang Melayu dan dicatatkan tiada populasi hamba pada 1879. S. Emily, op.cit., hal. 330

No comments: